AM

Institut King Sejong bakal jadi hab mempromosi bahasa dan budaya Korea

25/05/2022 03:38 PM

MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Universiti Multimedia (MMU) kampus Melaka bakal menjadi hab bagi mempromosi bahasa dan budaya Korea, selaras dengan penubuhan Institut King Sejong (KSI) yang baru dilancarkan di sini, hari ini.

Presiden MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata KSI-MMU akan membantu dalam menyerlahkan penonjolan kedua-dua institusi itu di peringkat global, di samping menjadi platform untuk menawarkan peluang kepada pelajar MMU dan orang ramai meneroka serta menikmati dunia Korea menerusi pelbagai acara, pertandingan dan kelas.

"Pengajian bahasa asing mengajar serta memupuk rasa hormat kepada kaum lain. Ia juga memupuk persefahaman dalam aspek saling hubungan bahasa dan sifat manusia.

"Selain itu bahasa asing juga meluaskan pandangan seseorang terhadap dunia, memperkaya pengalaman, dan menjadikan seseorang itu lebih fleksible dan bertoleransi,” katanya pada majlis pelancaran KSI kampus MMU di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Duta Besar Republik Korea Lee Chi Beom. 

Mazliham berkata sehingga Jun 2021, terdapat 234 institut berkenaan di 82 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, dan kampus MMU Melaka merupakan salah satu daripada 25 universiti baharu yang dipilih daripada 120 universiti lain di seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada KSI pada 2021.

"Saya yakin institut ini akan mendedahkan lagi para peserta kepada budaya Korea, yang kini popular di seluruh dunia. Saya juga percaya bahawa keterbukaan dan penerimaan terhadap budaya Korea telah mantap dalam MMU. Ini akan meletakkan KSI MMU Melaka ke arah kejayaan cemerlang," katanya.

Beliau berkata sejak KSI-MMU kampus Melaka beroperasi tahun lepas, hampir 100 pelajar dan peserta mengikuti pelbagai program kursus pendek ditawarkan.

Sementara itu Lee dalam ucapannya juga menegaskan bahawa KSI-MMU akan memperkayakan lagi pertukaran dalam sektor pendidikan dan kebudayaan antara Republik Korea dan Malaysia.

"Saya harap akan wujud sinergi melalui pertukaran dan kerjasama antara institut pendidikan ini di Malaysia dan ia akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan