EKONOMI

InDriver lancar perkhidmatan di Langkawi

23/05/2022 05:29 PM

ALOR SETAR, 23 Mei (Bernama) -- inDriver, perkhidmatan e-panggilan antarabangsa yang mempunyai 100 juta pengguna di seluruh dunia, melancarkan perkhidmatannya di destinasi pelancongan popular Langkawi.

Pengarah e-panggilan itu untuk Asia Pasifik Roman Ermoshin berkata memandangkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama, syarikat itu menjangkakan permintaan untuk perkhidmatan e-panggilan akan meningkat, seiring dengan jangkaan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke pulau yang indah itu. 

“Dengan kehadiran kami di Langkawi, pengunjung dan penduduk tempatan boleh menjangkakan untuk menikmati perkhidmatan pengangkutan yang berkualiti, berpatutan dan mudah untuk keperluan mobiliti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata model unik ‘Real-Time Deals’ inDriver yang membolehkan pengguna untuk menentukan dan merundingkan tambang untuk perjalanan, menjadikannya alternatif pengangkutan yang popular untuk rakyat Malaysia, terutamanya memandangkan berlakunya peningkatan permintaan dan harga perkhidmatan pengangkutan.

Ciri itu juga membolehkan pengguna mendapatkan perkhidmatan e-panggilan pada kadar yang lebih berpatutan pada bila-bila masa sepanjang hari.

Beliau berkata inDriver membolehkan pengguna mendapatkan perjalanan mampu milik dengan terlebih dahulu membuat tawaran melalui aplikasi dan pemandu berdekatan akan menerima tawaran itu, mereka juga mempunyai pilihan untuk sama ada menerima atau menolaknya, atau berunding untuk tambang yang lebih baik.

"Penumpang kemudiannya diberikan pelbagai tawaran balas, dan boleh memilih perjalanan yang sesuai dengan keutamaan mereka berdasarkan tambang, anggaran masa ketibaan, model kenderaan dan penarafan pemandu," katanya.

Dari segi langkah keselamatan, Ermoshin berkata inDriver menyediakan pilihan untuk berkongsi lokasi GPS pengguna dan butiran perjalanan dalam masa nyata dengan kenalan yang dipercayai.

Selain itu, pengguna boleh berhubung terus dengan perkhidmatan sokongan pelanggan jika mereka memerlukan bantuan dan sekiranya berlaku kecemasan, pengguna boleh berhubung dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan melalui butang kecemasan khusus.

Pada masa ini, lebih 250 pemandu yang mendaftar dengan inDriver tersedia di Langkawi dan pemandu juga boleh menikmati bayaran perkhidmatan sifar untuk masa yang terhad, memberi mereka peluang untuk menguji manfaat platform itu secara percuma.

Aplikasi inDriver tersedia untuk dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store, Apple  AppStore dan Huawei AppGallery.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan