JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Bhd (UDA) menyalurkan sumbangan dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama warga emas di daerah ini.
Pengerusinya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata seramai 40 warga emas daripada Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan menerima wang berjumlah RM200 seorang, berserta kuih raya.
“Semoga sumbangan kecil ini menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka lebih bermakna dan dapat mengukir senyuman.
“UDA menerusi program CSR UDA Cares sentiasa mengambil langkah murni untuk mendekati golongan memerlukan khususnya bagi sambutan bermakna seperti Aidilfitri ini. Saya berharap agar inisiatif ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan UDA dan komuniti setempat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Meriah Raya yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Mohd Salem Kailany dan pengurusan kanan syarikat itu serta Pengasas Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan Sharipin Shahlan.
Seramai 2,000 jemputan hadir pada Majlis Meriah Raya itu, antaranya pelanggan dan penyewa Angsana Johor Bahru Mall, wakil UDA Land South Sdn Bhd, jabatan, agensi kerajaan negeri dan swasta serta badan-badan korporat.
Norliza berkata setiap tahun pihaknya sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan aktiviti UDA Cares bagi memastikan lebih ramai masyarakat setempat menerima manfaat dan bantuan.
“Inisiatif UDA Cares ini juga selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE yang menekankan ciri-ciri Legacy (legasi), Integrated (integrasi), Finesse (ketelitian) dan Enrich (memperkasa) ,” katanya.
Sementara itu, Mohd Salem berkata syarikat berkenaan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang membenarkan aktiviti merentas sempadan pada 1 April lepas, sekali gus membantu merancakkan kembali perniagaan kompleks beli belah di negeri ini termasuk Angsana Johor Bahru Mall.
“Usaha ini secara tidak langsung merancakkan kembali aktiviti perniagaan di kompleks beli belah Angsana Johor Bahru Mall dengan kunjungan warga Singapura, terutama apabila ia dilaksanakan pada waktu tepat ketika orang ramai buat persiapan Aidilfitri.
“Sehingga kini, pusat beli belah ini dapat mengekalkan kadar penghunian pada tahap yang baik iaitu 94 peratus pada April lepas. Ini satu tanda positif bagi sektor perniagaan pusat beli belah pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata bagi merancakkan lagi operasi Angsana Johor Baru Mall, UDA Holdings tampil mempelbagaikan acara menarik untuk orang ramai antaranya Euro Fun Park di Padang Begonia bersebelahan pusat beli belah itu yang berakhir pada 19 Jun depan serta Pesta Pengantin dan Sambutan Hari Koperasi Malaysia 100 tahun yang dijangkakan berlangsung pada bulan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial