KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- ASUS Malaysia melancarkan rangkaian komputer riba premium Zenbook 2022 keluarannya, termasuk ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition.
Pengurus Pembangunan Perniagaan ASUS Malaysia Lenny Lin berkata Zenbook 14X OLED Space Edition telah dibangunkan secara kukuh bagi menahan cabaran perjalanan ke ruang angkasa yang sejajar dengan protokol ujian Standard SMC-S-016A Sistem Angkasa Amerika Syarikat.
“Space Edition ini mampu mengharungi gegaran ekstrem yang empat kali ganda melebihi ketahanan standard gred ketenteraan.
“Malah, ia juga mampu beroperasi dalam cuaca melampau yang melangkaui kemampuan gred ketenteraan selain bertahan serta berfungsi dalam suhu sekitar -24 darjah Celsius hingga 61 darjah Celsius,” katanya pada majlis pelancaran siri Zenbook 2022 di pusat beli-belah MidValley Megamall di sini, hari ini.
Beliau turut melancarkan tiga komputer riba lain di bawah siri ASUS Zenbook -- Zenbook Pro 14 Duo OLED, Zenbook Pro 16X OLED dan Zenbook 14 OLED yang dipertingkatkan.
“Siri Zenbook ini mengetengahkan pengalaman premium serta ultra mudah alih dalam bentuk (komputer riba) yang nipis, ringan selain menggabungkan ciri-ciri mesra dan pentingkan pengguna dengan paparan baharu bagi 2022,” katanya.
Siri komputer riba Zenbook terbaharu itu ditawarkan pada harga sekitar RM4,399 hingga RM11,999 seunit.
Menurutnya, bagi tempoh sekarang hingga 29 Mei, orang ramai berpeluang melihat serta menyelami inovasi terkini ASUS menerusi pelbagai aktiviti menghiburkan seperti permainan ‘ZenVision Missing Letter Puzzle’ dan ‘Creative Doodle with Duo-Vision.’
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial