EKONOMI

MPDT Capital Bhd cadang bangunkan teknologi penyahgaraman di Pulau Pinang

23/05/2022 02:54 PM

GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- MPDT Capital Bhd akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membangunkan teknologi penyahgaraman air laut bagi memenuhi permintaan bekalan air mentah untuk kegunaan pemain industri di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Nik Zamri Abdul Majid berkata sekiranya cadangan projek bernilai RM1 bilion itu diluluskan, ia mampu menghasilkan sebanyak 250 juta padu liter air laut yang telah menjalankan penyahgaraman setiap hari untuk dibekalkan bagi kegunaan pihak industri.

Katanya penyahgaraman merupakan teknologi penting untuk dipertimbangkan pembangunannya sebagai persediaan jangka panjang dalam usaha menjamin bekalan air di Pulau Pinang dan seluruh negara.

"Cadangan kami berhubung teknologi penyahgaraman di Pulau Pinang adalah dua fasa iaitu pertama, melibatkan fasiliti nyahgaram bagi kegunaan para penyewa kedai dan restoran secara percuma di Tanjung City Marina.

"Fasa kedua pula masih dalam peringkat cadangan kepada kerajaan negeri (Pulau Pinang) yang bernilai RM1 bilion untuk kegunaan pemain industri. Kami cadangkan ia dibangunkan di sekitar kawasan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam di sini," katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu fasiliti nyahgaram di Tanjung City Marina yang dirasmikan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman di sini hari ini.

Nik Zamri berkata setakat ini Pulau Pinang tidak mempunyai rekod masalah bekalan air.

Justeru, beliau berkata teknologi penyahgaraman air laut diyakini dapat membantu mengekalkan rekod negeri itu untuk menjadi negeri terbaik dalam membekalkan air kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan semula Tanjung City Marina bernilai RM120 juta dijangka siap sepenuhnya pada Oktober, sekali gus bakal menjadi pusat tumpuan pelancong terutamanya untuk mencari makanan enak dan lokasi bersiar-siar di tepi laut.

Katanya antara tarikan yang akan dibangunkan di kawasan seluas 24,945.67 meter persegi itu ialah arena e-sukan, pelbagai restoran termasuk medan selera terbuka, restoran makanan segera berjenama, pelbagai fasiliti sukan dan hiburan, trek dan kemudahan rekreasi.

"Kami menjangka terdapat 17 kedai makan dan restoran di sini yang bakal menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan, luar negeri dan sebagainya. Ia berdekatan Terminal Pelayaran Swettenham Pier iaitu pelabuhan untuk kapal persiaran. Sudah pasti kawasan tersebut akan menjadi tumpuan pelancong," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menandatangani perjanjian pajakan dengan MPDT Capital Bhd untuk membangunkan tiga gudang di Terminal Pelayaran Swettenham Pier dan bahagian darat Tanjung City Marina untuk dijadikan produk pelancongan.

SPPP memberi kepercayaan penuh kepada MPDT Capital Bhd bagi merealisasikan pembangunan di kawasan tersebut dengan mengambil kira kredibiliti dan pengalaman syarikat itu dalam melaksanakan projek-projek tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan