KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- SME Bank menyemak Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas kepada 6.45 peratus berkuat kuasa pada 1 Jun, 2022, susulan semakan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia, baru-baru ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Aria Putera Ismail berkata kali terakhir BFR itu disemak semula adalah pada 17 Julai, 2020 pada 6.20 peratus.
“Walaupun semakan (terbaharu) ini dilakukan, tempoh pembiayaan pelanggan kekal tidak brubah manakala jumlah ansuran itu akan diteliti semula sewajarnya,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga kekal kukuh berikutan negara mencatatkan pertumbuhan agihan pembiayaan modal kerja yang ketara pada 21.2 peratus bagi suku pertama 2022.
“Di SME Bank, kami mengambil langkah proaktif dalam usaha mengurangkan impak semakan semula OPR ke atas PKS.
“Kami turut menyediakan bantuan kewangan sedia ada yang khusus selain program kewangan yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti Dana Usahawan Muda 2.0 RM100 juta, Dana Promosi IBS 2.0 RM200 juta dan Dana Kemudahan Permodalan Semula SME sebanyak RM200 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial