SUKAN

TFC II mahu teruskan momentum kemenangan dalam Liga Premier

23/05/2022 11:14 AM

KUALA NERUS, 23 Mei (Bernama) -- Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll) Badrul Afzan Razali mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan apabila berdepan Kuching City FC bagi aksi tertunda Liga Premier di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Dengan pusingan pertama liga hanya berbaki dua perlawanan, jurulatih kelahiran Kemaman itu menuntut pemain supaya memperagakan persembahan terbaik seperti yang dipamerkan ketika melayan kunjungan skuad Harimau Selatan di laman sendiri Jumaat lepas.

"Saya mahu lihat  keghairahan dan semangat juang tinggi yang ada pada diri pemain ketika menentang JDT ll itu, kita bawa pula ke Kuching.

"Misi kita seperti biasa untuk bawa pulang tiga mata dari tempat lawan untuk perbaiki serta perkukuh kedudukan dalam liga sebelum berakhirnya pusingan pertama bulan depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, semalam.

Skuad The Turtles kini menghuni tangga keempat liga dengan kutipan 13 mata diikuti Kuching City FC di tanggga kelima dengan 11 mata.

Bagaimanapun pada masa yang sama, Badrul Afzan turut mengingatkan pemain supaya tidak terlampau selesa dan memandang mudah ancaman skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Katanya, pemain perlu bersedia dan menjangkakan cabaran daripada semua sudut pada pertemuan malam esok.

"Untuk perlawanan malam esok agak lega juga kerana kita dapat turunkan tiga import. Argzim (Argzim Redzovic) dah dapat kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan akibat kad merah.

"Selain itu, lima pemain dari skuad Terengganu FC (TFC) iaitu Hakimi, Faiz Nasir, Engku Nur Shakir, Rahmat dan Zuasyraf juga telah mendapat pelepasan dari Ketua Jurulatih Nafuzi untuk membantu TFC ll malam esok," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan