EKONOMI

Kerajaan mungkin perkenalkan mekanisme bahan api bersasar -- Azmin

21/05/2022 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan berkemungkinan memperkenalkan mekanisme bahan api yang disasarkan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021.

“Kami bercakap tentang semakan itu dalam pemukiman (retreat) khas baru-baru ini.

"Mereka yang mempunyai BMW tidak boleh menikmati subsidi yang sama seperti mereka yang mempunyai Kancil," katanya semasa sidang akhbar mengenai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat hari ini.

Bulan lepas, Petronas Dagangan Bhd memaklumkan ia telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme subsidi bahan api berikutan peningkatan harga minyak mentah di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berkata kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai untuk mekanisme bahan api yang disasarkan, yang dijangka siap tidak lama lagi.

--BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan