AM

Sasaran lima tahun untuk sektor pelancongan pulih terlalu lama - MPN

21/05/2022 09:17 AM

MELAKA, 21 Mei (Bernama) -- Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat tempoh lima tahun yang disasarkan oleh Tourism Malaysia untuk sektor pelancongan negara kembali pulih adalah terlalu lama.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata  jika ia tempoh masa yang diambil untuk memulihkan sektor tersebut, akan berlaku lebih banyak isu dan permasalahan lain.

"Baru-baru ini saya mempengerusikan satu mesyuarat MPN dan Tourism  Malaysia membentangkan laporan untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.

"Tapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu adalah apabila disebutkan pelancongan negara akan mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk pulih...iaitu sama dengan tempoh rancangan Malaysia lima tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bersatu Bahagian Tangga Batu lewat malam tadi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata untuk itu, MPN telah meminta kepimpinan sektor pelancongan meneliti semula dan tempoh tersebut seharusnya dipendekkan. 

"Tiga atau empat tahun sahaja kerana di situlah (sektor pelancongan) banyak pengusaha-pengusaha kita sama ada bumiputera dan bukan bumiputera yang terkesan dalam tempoh dua tahun lepas, kerana sektor ini sudah berada dalam keadaan yang cukup tertekan sekali," katanya.

Terdahulu dalam mesyuarat MPN pada Selasa lepas, Muhyiddin telah mengesyorkan kerajaan untuk merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

Ia susulan ketibaan pelancong ke Malaysia berkurang sebanyak 99.5 peratus pada tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelum pandemik. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan