JENAYAH & MAHKAMAH

TLDM tahan empat pendatang asing di perairan Johor Selatan

20/05/2022 11:00 AM

IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan empat pendatang tanpa izin dipercayai warga Indonesia kerana menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan di perairan Johor Selatan, malam tadi.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM Lumut, kesemua lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam bersama seorang lelaki dipercayai tekong warga tempatan.

"Aset TLDM bot tempur laju FCB 1124 dan bot pemintas Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau yang dalam penugasan Op Benteng Laut di bawah perintah kawalan KD Handalan di lapangan telah mengesan keberadaan sebuah bot yang sedang bergerak dari Pasir Gudang menuju ke arah Selat Singapura. 

"FCB 1124 dan RHIB Lepau lantas mengambil tindakan pantas memintas bot itu dan kemudian berjaya menahan di kedudukan kira-kira satu batu nautika selatan Tanjung Pengelih," menurut kenyataan itu.

 Kesemua pendatang tanpa izin dan tekong itu dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang serta diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tanjung Sedili, Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan