KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- OPPO Malaysia secara rasminya melancarkan telefon pintar terbaharunya, Find X5 Pro 5G, dengan keupayaan kamera yang dipertingkat, dibangunkan secara bersama dengan pengeluar kamera Sweden iaitu Hasselblad.
OPPO Find X5 Pro 5G kini dibuka untuk pratempahan dan boleh didapati di kedai-kedai seluruh negara bermula 28 Mei, pada harga runcit RM4,999 seunit.
Peranti baharu ini menampilkan MariSilicon X yang dibangunkan kali pertama oleh OPPO sendiri, unit pemprosesan saraf pengimejan (NPU) yang mengeluarkan lebih banyak butiran dan keceriaan warna dalam keupayaan merakam video dan foto.
Pengurus produk OPPO Malaysia Ken Ng berkata MariSilicon X adalah berdasarkan teknologi pemprosesan enam nanometer yang menyediakan kuasa pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) yang sangat cekap dan algoritma pengurangan gangguan bintik warna AI termaju yang mendedahkan kejelasan pada waktu malam.
"Secara umumnya, rakaman video pada waktu malam boleh sedikit mengecewakan sama ada terlalu gelap atau gangguan bintik warna, tetapi dengan MariSilicon X, isu ini dapat diatasi dengan ketara," katanya semasa pelancaran tersebut.
Find X5 Pro 5G turut menyaksikan kemunculan sulung sistem penstabilan imej optik refleks kanta tunggal (SLR) yang pertama seumpamanya, digandingkan dengan algoritma proprietari, untuk membantu meningkatkan keupayaan pengambilan gambar dan video.
Pada majlis itu, OPPO Malaysia turut melancarkan fon telinga stereo tanpa wayar generasi seterusnya, Enco X2, yang dicipta bersama dengan pembuat pembesar suara dari Denmark, Dynaudio pada harga runcit RM799.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial