AM

Kedah akan perangi kartel padi, pastikan pengeluaran hasil ditingkatkan - MB

18/05/2022 07:53 PM

ALOR SETAR, 18 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah akan memerangi kewujudan kartel dalam industri padi di negeri ini, sekiranya wujud, dalam memastikan pengeluaran hasil padi dapat ditingkatkan selain membela nasib para petani.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata isu kemungkinan wujudnya kartel padi itu timbul apabila model penanaman padi yang diusahakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu mencapai hasil 7.8 tan sehektar, berbanding purata hasil padi sedia ada sebanyak enam tan sehektar.

Katanya LZNK telah mencapai hasil sebanyak 7.8 tan itu dalam tuaian pertama sawah padi berkeluasan kira-kira 30 hektar yang diusahakan agensi itu sendiri. 

“Kenapa kita dapat enam tan sehektar sahaja tetapi LZNK dapat capai jumlah yang lebih tinggi?

“Mesti ada sebab mengapa ia berlaku kerana kedua-dua menggunakan sumber, benih, pengairan dan mesin yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata Kedah juga ketinggalan berbanding Selangor yang mampu mengeluarkan antara sembilan hingga 12 tan sehektar.

Beliau berkata sekiranya wujud kartel padi, ia perlu dihapuskan dan diperangi habis-habisan, selain mahu semua pihak yang terlibat dalam industri padi supaya bersikap jujur.

“Saya berasa ragu dengan rangkaian dalam industri ini yang berkemungkinan tidak jujur dalam mana-mana peringkat.

“Jadi, kita akan guna model LZNK ini untuk mencabar sistem yang sedia ada di negeri ini dan mahu lihat penghasilan padi masih di tahap yang sama atau tidak,” katanya.

Katanya, memandangkan krisis makanan dijangka berlaku pada 2025, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berkaitan telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera berkaitan isu pengeluaran padi di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membaik pulih runtuhan ban di Terusan Tengah di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang dekat Jitra, yang akan mengambil masa selama 14 hari.

“Cuma kena tengok sebab ada tiga tempat air melimpah. Kita telah minta jurutera Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk tengok dan mereka akan buat pemantauan sepanjang sungai kerana banyak kawasan yang hujan jadi tanah lembut dan kita risau berlaku runtuhan lagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari 9 Mei lepas, ban itu runtuh hingga menyebabkan air mentah di terusan berkenaan berkurangan, sekali gus mengakibatkan lebih 30,000 pemegang akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami masalah gangguan bekalan air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan