KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- CIMB Bank Bhd telah memberi komitmen penuh dalam bentuk pelaburan komuniti sebanyak RM150 juta selama lima tahun serta 100,000 jam khidmat aktiviti sukarela pekerjanya setahun menjelang 2024 bagi tujuan tanggung jawab sosial korporat (CSR).
Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata ia juga telah berkhidmat kepada masyarakat menerusi inisiatif Yayasan CIMB bagi menyokong kalangan B40 dan golongan yang memerlukan di serata Malaysia.
“Kumpulan juga melaksanakan beberapa inisiatif menerusi usaha pemerkasaan ekonomi seperti Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic, Program Usahawan Rider CIMB Islamic dan CIMB MicroBizReady yang menyediakan latihan, bimbingan dan sokongan kewangan untuk meningkatkan kehidupan golongan B40 selain membolehkan mereka mengembangkan perusahaan mikro dan kecil mereka.
“Ketika pandemik, CIMB turut memberi komitmen sebanyak RM10 juta dalam bentuk bantuan tambahan menerusi projek Bantuan COVID-19 Komuniti Kita bagi memberi sokongan segera kepada sistem penjagaan kesihatan kebangsaan selain memperluaskan lagi inisiatif CSR Kumpulan,” katanya.
Dalam pada itu, CIMB turut merangkul tiga anugerah dalam kaji selidik Syarikat Terurus Terbaik 2022 anjuran FinanceAsia bagi anugerah syarikat Paling Komited Terhadap Penjagaan Alam Sekitar, Paling Komited Terhadap Sosial serta Hubungan Pelabur Terbaik di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan oleh masyarakat pelabur serta penganalisis.
“Anugerah ini jelas memaparkan kemajuan penting kita ke arah menjadi peneraju lestari ASEAN yang sejajar dengan peranan merealisasikan ekonomi sifar bersih,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial