BUTTERWORTH, 17 Mei (Bernama) --The Straits Trading Company Ltd yang tersenarai di Bursa Singapura dan Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC), melancarkan pelan induk Straits City yang disasarkan menjadi mercu pembangunan bersepadu pintar serta mampan di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Straits Developments Pte Ltd Eric Teng berkata projek seluas 16.19 hektar di daerah pusat perniagaan pesisir pantai perdana di Butterworth, adalah pembangunan bercampur-campur merangkumi segmen kediaman, runcit, hotel serta komersial yang dijangka dimajukan sepenuhnya menjelang 2038.
“Sebagaimana yang dinyatakan dalam perancangan, nilai pembangunan kasar (GDV) parameter projek terbabit dianggarkan RM3 bilion, namun kami dalam proses melakukan semakan semula susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis penyempurnaan pemasangan struktur pembangunan Straits City di sini, hari ini.
Fasa pertama pembangunan itu akan merangkumi hotel empat bintang setinggi 23 tingkat dengan ruang runcit boleh disewa bersih seluas kira-kira 3,885.48 meter persegi dan GDV dianggarkan RM250 juta.
Menurut Teng, hotel berkenaan bakal dilengkapkan dengan 343 bilik, ruang kemudahan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang dijadual dibuka pada suku ketiga 2023.
“Pengendali hotel itu akan dimuktamadkan menjelang suku ketiga tahun ini. Beberapa penggiat telah disenaraipendek dan kesemuanya adalah pengendali hotel antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, teknologi pintar yang akan digunakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan di Straits City termasuk sistem keselamatan bercirikan kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian internet pelbagai benda (IoT) yang menyumbang kepada pengurusan pembinaan lebih cekap, perkhidmatan lebih baik bagi masyarakat serta penggunaan tenaga yang rendah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC Datuk Patrick Yong berkata syarikat tersebut merupakan pemilik kawasan seluas kira-kira 5.58 hektar di lokasi pembangunan tersebut yang menempatkan kilang peleburan timah miliknya.
“Ianya dalam proses pemindahan dan memakan masa akibat COVID-19 yang menyebabkan kehilangan tempoh selama dua tahun. Kilang peleburan itu masih beroperasi tetapi menghampiri tempoh akhir dan usaha pembersihan sedang dijalankan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial