AM

Menteri Luar Singapura adakan lawatan ke Malaysia dari 17-19 Mei

16/05/2022 05:35 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Malaysia bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, kedua-dua menteri dijadual mengadakan pertemuan bagi bertukar-tukar pandangan berkenaan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa lawatan itu, Balakrishnan juga dijadual menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Lawatan kerja Dr Vivian Balakrishnan ini akan memberi peluang terbaik untuk Malaysia dan Singapura memperkukuh lagi hubungan baik dan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 2021, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak RM267.11 bilion (US$64.43 bilion), peningkatan 25.2 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan