AM

Etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus digesa pegang kukuh adat resam, budaya

15/05/2022 07:11 PM

LABUAN, 15 Mei (Bernama) -- Etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) khususnya generasi muda diseru terus memperkukuh adat resam serta mempertahan kebudayaan agar tidak tenggelam ditelan zaman.

Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata masyarakat KDMR memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam mempertahan budaya unik mereka.

“Mempertahan adat resam dan kebudayaan sesuatu kaum adalah tanggungjawab masyarakat itu sendiri… mewarisi tradisi kaum terdahulu kita bukan bermakna kita masih berada di takuk yang lama.

“Kita seharusnya berbangga dengan kebudayaan kaum sendiri yang mampu mengangkat kita bersama dan berjaya dałam pelbagai bidang.

“Ingatlah perpaduan dan keharmonian dapat dipupuk melalui pegangan adat resam dan budaya,” katanya ketika merasmikan sambutan Kaamatan Peringkat KDCA Cawangan Labuan 2022 di Padang Majal, Pohon Batu disini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah III itu berkata usaha mengekalkan adat resam kaum KDMR di Labuan yang masih giat dilaksana mampu mengeratkan lagi hubungan pelbagai kaum di pulau bebas cukai tersebut.

“Dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Induk KDCA Labuan yang menjadi penggerak aktiviti KDMR dan juga sebagai penghubung kepada KDCA Hongkod Koisaan di Sabah, saya yakin budaya dan kebiasaan (koubasanan) amalan turun-temurun suku KDMR tidak akan dilupakan oleh generasi baharu,” katanya.

Sambutan kali ini, yang bertema ‘Kaamatan Monunduan Do Winorun (Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi) menekankan supaya alam sekitar perlu dijaga dan dilindungi agar keindahan semula jadi dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Pesta Kaamatan merupakan tanda kesyukuran kita terhadap perolehan hasil tuaian padi dan mengharapkan agar rezeki akan datang lebih bertambah baik.

“Sambutan perayaan ini juga merupakan satu platform untuk memupuk perpaduan sesama kita tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan,” katanya yang berharap perayaan itu menjadi suntikan motivasi kepada etnik KDMR untuk maju dan berdaya saing terutama dalam bidang ekonomi serta sosial.

Pesta Kaamatan disambut secara meluas di Sabah dan Labuan pada 30 serta 31 Mei setiap tahun dan turut dikenali sebagai Pesta Menuai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan