BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
AM

Gawai: Masyarakat Dayak berisiko tinggi diminta ambil dos penggalak kedua

15/05/2022 12:43 AM

SIBU, 14 Mei (Bernama) -- Masyarakat Dayak yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 perlu segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak kedua bagi memastikan mereka memiliki imuniti tinggi ketika menyambut perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata mereka yang belum menerima dos penggalak kedua tersebut, terutama golongan berusia 60 tahun ke atas, adalah digalakkan untuk berbuat demikian memandangkan perayaan itu melibatkan banyak aktiviti keramaian.

 “Sesiapa yang belum menerima suntikan dos penggalak kedua pastikan anda mendapat suntikan supaya (memiliki) imuniti tinggi maka anda boleh menyambut Gawai dengan selamat (daripada jangkitan COVID-19),” katanya ketika berucap pada majlis praGawai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong di sini hari ini.

Presiden SUPP itu berkata beliau sendiri sudah mengambil suntikan dos penggalak kedua beberapa minggu sebelum Aidilfitri lepas kerana beliau dijadualkan menghadiri banyak majlis sambutan hari raya dan Gawai Dayak.

Dr Sim berkata Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri terbaik dan paling tinggi di negara ini dalam pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyatnya, iaitu mencecah sekitar 95 peratus berbanding negeri-negeri lain.

Bangga dengan pencapaian tersebut, katanya kejayaan itu adalah hasil kerjasama padu rakyat Sarawak dalam membantu kerajaan menangani penularan virus tersebut dan telah membolehkan banyak majlis secara bersemuka diadakan.

Menurutnya memandangkan masyarakat kini menjalani kehidupan harian bersama COVID-19, mereka perlu mempraktikkan amalan ‘kita jaga kita’.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan