KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pelumba negara Jazeman Jaafar optimis mampu mencatat keputusan podium dalam pusingan kedua perlumbaan European Le Mans Series (ELMS) di Litar Imola, Itali, dijadulkan berlangsung esok hingga Ahad ini (13-15 Mei).
Jazeman, 29, yang beraksi buat pertama kali di Imola berkata sasaran itu mampu direalisasikan bersandarkan hasil perlumbaan simulasi yang diadakan ke atas litar tersebut bersama pasukan Virage.
"Persiapan perlumbaan itu lebih tertumpu kepada 'mileage' kerana 'curbs' di Litar Imola adalah berbeza daripada simulasi, namun lebih banyak pusingan kita buat lebih baik rentak yang kita dapat.
"Persediaan kami agak agresif daripada pasukan lain dan ia sesuai untuk Litar Imola. Insya-Allah dengan kerja keras kami berpotensi untuk menang dan kibar bendera Jalur Gemilang pada Ahad ini," katanya menerusi rakaman audio dikongsikan kepada media hari ini.
April lepas, Jazeman yang bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Aubry dan Rob Hodes (Amerika Syarikat) dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) memulakan perlumbaan pusingan pertama ELMS di Le Castellet, Perancis dan meraih tempat ke-15.
Selain di Perancis dan Itali, perlumbaan ELMS akan turut berlangsung di Sepanyol, Belgium dan Portugal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial