KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- S&P Global Ratings menjangkakan bank-bank Islam Malaysia akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak enam hingga lapan peratus dalam tempoh lima tahun dari 2022 hingga 2026.
Ini bermakna bank-bank Islam tempatan boleh menyumbang hampir 45 peratus daripada keseluruhan pembiayaan perbankan komersial menjelang akhir 2026, naik berbanding 37.5 peratus pada Januari 2022, menurut S&P dalam laporannya yang bertajuk "Growing Belief in Southeast Asia's AS$290 billion (AS$1=RM4.38) Islamic Banking Market" yang diterbitkan hari ini.
"Potensi sektor ini untuk pertumbuhan jangka panjang adalah memberangsangkan dan bank-bank Islam negara ini, berkemungkinan mendapat laba daripada penerbitan sukuk mampan antarabangsa," kata laporan itu.
"Oleh itu, sejajar dengan trend ekonomi, cabaran jangka pendek mungkin menghalang pemulihan pertumbuhan pinjaman dalam portfolio runcit serta kecil dan sederhana (PKS) bank Islam, yang sedang pulih secara beransur-ansur daripada pandemik. "
Sama seperti bank konvensional lain, portfolio bank Islam lebih cenderung ke arah perbankan pengguna massa serta PKS dan kurang ke arah korporat besar, yang memenuhi sebahagian besar keperluan pembiayaan mereka melalui pinjaman pasaran modal, kata S&P.
"Kecondongan ini boleh bermakna pemulihan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan pada 2022 dan keperluan bagi mengekalkan kos kredit yang tinggi untuk lebih lama," katanya.
Agensi penarafan itu ketika mengulas mengenai pinjaman tidak berbayar kasar (NPL) berkata sektor perbankan Islam Malaysia boleh menyaksikan nisbahnya meningkat sebanyak 100 mata asas dalam tempoh 12-24 bulan akan datang, naik berbanding 1.3 peratus pada Februari 2022, apabila pelbagai program moratorium dan bantuan tamat menjelang pertengahan 2022.
Sementara itu, di bawah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), agensi penarafan itu menjangkakan pengawal selia Malaysia dan pemain kewangan Islam tempatan akan memberi tumpuan lebih ke arah mengintegrasikan pertimbangan ESG ke dalam perbankan syariah.
"Langkah-langkah yang diambil oleh badan pengawalseliaan telah memudahkan pinjaman yang lebih tinggi kepada sektor keutamaan dan penerbitan bon hijau serta kemampanan dalam pasaran domestik," katanya.
S&P berkata bank-bank Islam Malaysia peringkat teratas akan mendapat manfaat daripada penerbitan sukuk antarabangsa dengan label ESG.
“Penerbitan penanda aras sedemikian akan membawa kepada asas pelabur yang lebih luas dan akhirnya membantu membuka jalan untuk kesedaran yang lebih besar mengenai kewangan Islam serta hubungan ESG intrinsiknya dalam pasaran modal hutang antarabangsa," katanya.
“Ia juga boleh membawa kepada kos penerbitan yang lebih rendah disebabkan oleh penyeragaman progresif proses penerbitan.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial