SUKAN

Liga Premier: Selangor 2, Kelantan United seri 1-1

09/05/2022 11:51 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Selangor FC 2 gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila hanya seri 1-1 kepada Kelantan United FC, pada perlawanan Liga Premier di Stadium UiTM, malam ini.

Babak pertama bermula dengan tuan rumah berjaya menguasai perlawanan dengan gol pertama dihasilkan seawal minit kelapan, hasil sepakan kencang dari Abdul Rahman Daud. 

Tersentak dengan situasi itu, skuad Kijang Hijau bangkit memulakan beberapa serangan namun gagal menebus gawang tuan rumah.

Masuk babak kedua, skuad kendalian ketua jurulatih Syamsul Mohd Saad terus memulakan asakan ke arah pintu gol Selangor 2, bagi menutup margin kekalahan. 

Aksi perlawanan sedikit tercalar apabila pemain tengah tuan rumah Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi dilayang kad merah, selepas pengadil perlawanan memberinya kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil pada minit 64.

Bermain dengan 10 pemain, kubu Selangor 2 terus diasak Kelantan United dengan beberapa percubaan berbahaya.

Peluang terhidang buat Kelantan United pada minit ke-78 apabila tandukan kemas dilakukan Muhammad Aliff Najmi Shaaini, bagi menyamakan kedudukan dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan