AM

Gerhana matahari separa boleh ditonton di Youtube, Facebook Planetarium Negara

29/04/2022 05:04 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Fenomena gerhana matahari separa yang akan berlaku di benua Antartika dan Amerika Selatan pada Ahad ini boleh disaksikan melalui saluran Youtube dan Facebook Planetarium Negara bermula 2.30 pagi, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Gerhana matahari separa iaitu kejadian gerhana pertama dalam tahun ini dijangka berlaku mulai 2.45 hingga 6.37 pagi.

Fenomena itu tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia, menurut kenyataan MOSTI hari ini.

MOSTI menerusi Planetarium Negara akan membuat penstriman langsung bagi membawakan imej-imej gerhana itu secara langsung dari benua Antartika dan Amerika Selatan serta imej dari teleskop-teleskop berdekatan kawasan kejadian.

“Siaran langsung ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa pada kali ini kerana ia tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia,” katanya.

Fenomena gerhana itu akan dimulakan dengan fasa separa pada 2.45 pagi waktu Malaysia dan mencapai litupan maksimum pada 4.41 pagi waktu Malaysia dengan peratus litupan matahari maksimum mencecah sehingga 64 peratus bergantung kepada lokasi pencerapan dan gerhana matahari separa ini dijangka berakhir pada 6.37 pagi waktu Malaysia.

MOSTI berkata lokasi paling awal dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa itu adalah di kawasan Lautan Pasifik diikuti dengan sebahagian benua Antartika sebelum berakhir di benua Amerika Selatan dan sebahagian Lautan Atlantik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan