EKONOMI

Malaysia dapat manfaat daripada larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia, harga MSM dijangka naik

25/04/2022 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia dijangka mendapat manfaat apabila pengimport minyak sawit mengalihkan permintaan dari Indonesia ke Malaysia berikutan langkah mengejut dan tidak dijangka oleh Indonesia untuk mengenakan larangan eksport ke atas komoditi itu.

Selain itu langkah berkenaan juga akan meningkatkan lagi harga minyak sayuran global secara keseluruhan, kata Public Investment Bank.

Indonesia, pengeluar dan pengeksport minyak sawit utama dunia mengumumkan keputusannya untuk mengenakan larangan eksport ke atas komoditi itu mulai 28 April sehingga notis selanjutnya dalam usaha negara itu untuk menangani kenaikan harga minyak masak domestik.

Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar.

Eksport minyak sawit Indonesia membentuk kira-kira 57 peratus daripada eksport minyak sawit global dan 32 peratus daripada eksport minyak sayuran global.

“Langkah mengejutkan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak mengenai pengetatan bekalan minyak sayuran global.

“Sebagai tindak balas kepada langkah yang tidak dijangka itu, harga minyak kacang soya melonjak kepada rekod tertinggi pada US$1,795 satu tan (US$1=RM4.34) manakala niaga hadapan minyak sawit meningkat RM36 kepada RM6,349 satu tan,” katanya sambil mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor perladangan.

Dalam notanya hari ini, ia turut menyatakan dengan larangan eksport berkenaan, terdapat sedikit ruang untuk peserta perladangan huluan untuk merundingkan harga yang lebih tinggi dengan bahagian penapisan.

“Berdasarkan gabungan terkini cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) dan levi eksais MSM sebanyak US$575 (RM2,415) satu tan, ditambah pula dengan cukai eksport MSM sebanyak RM474 satu tan di Malaysia, kami berpendapat Indonesia kini berdagang pada tahap harga diskaun MSM yang sangat ketara iaitu RM4,800 satu tan berbanding Malaysia RM6,773 satu tan.

“Peserta perladangan Malaysia seperti Genting Plantation, KLK, Sime Darby Plantation dan TSH yang mempunyai pendedahan kukuh kepada pasaran Indonesia, tidak akan dapat menguasai  sepenuhnya prestasi harga MSM semasa yang kukuh berikutan duti eksport yang tinggi dan dasar eksport sifar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan