AM

Permohonan, bayaran penyeteman dokumen individu menerusi STAMPS mulai 27 April

23/04/2022 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Permohonan serta bayaran penyeteman perjanjian dokumen individu boleh dikemukakan secara dalam talian sepenuhnya menerusi portal Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) bermula 27 April ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan warganegara dan penduduk tetap yang mempunyai nombor cukai pendapatan boleh membuat pendaftaran akaun atau ID pengguna di portal berkenaan termasuk permohonan taksiran dan bayaran duti setem di pautan https://stamps.hasil.gov.my tanpa perlu hadir ke kaunter duti setem.

“Sijil setem perlu dimuat turun dan dicetak setelah bayaran berjaya dilakukan untuk dikepilkan kepada perjanjian asal sebagai bukti duti setem telah dibayar,” menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, bagi mereka yang tidak mempunyai nombor cukai pendapatan serta individu selain warganegara dan bukan penduduk tetap, perlu hadir ke mana-mana kaunter duti setem setelah mengisi maklumat penyeteman di portal STAMPS di bawah pilihan ‘Penyeteman Dokumen Peribadi Di Kaunter’.

“Pendaftaran nombor cukai pendapatan individu boleh dibuat melalui e-Daftar di pautan https://edaftar.hasil.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada LHDN menerusi talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 bagi luar negara, HASiL Live Chat, e-mel kepada stamps@hasil.gov.my atau mengisi borang maklum balas melalui https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan