EKONOMI

TAM tubuh hab teknikal ASEAN di Pulau Pinang

23/04/2022 03:05 PM

NIBONG TEBAL, 23 April (Bernama) -- Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) akan menubuhkan hab teknikal ASEAN di Pulau Pinang untuk menarik dan melatih pakar-pakar teknikal dari rantau ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pusat serantau ASEAN itu menyasarkan untuk menarik pakar-pakar teknikal seperti jurutera, juruteknik dan ahli teknologi, yang mendapat permintaan tinggi berdasarkan pelaburan yang masuk ke negeri ini.

“Kerajaan negeri sedar bahawa pembangunan kumpulan tenaga kerja mahir penting untuk menyokong pertumbuhan industri strategik di Pulau Pinang.

“Saya gembira apabila TAM menyasarkan pencapaian baharu di negeri ini berikutan hab itu akan menerajui pembangunan kemajuan teknologi di rantau kita,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-75 Persidangan TAM di sini hari ini.

TAM, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) teknikal tertua di Malaysia, telah melangkah jauh sejak penubuhannya pada 1946 dan telah terlibat secara aktif dengan agensi negeri dalam memenuhi keperluan masa depan untuk tenaga kerja dalam pelbagai bidang teknikal.

Chow berkata kerjasama awam-swasta yang kukuh dengan usaha bersepadu dalam menyokong pembangunan tenaga kerja menjadi kunci kepada kejayaan Pulau Pinang yang berterusan.

Mengulas mengenai persidangan itu, beliau berkata topik perbincangan pada persidangan hari ini amat penting berikutan kekuatan teknikal merupakan faktor utama dalam menentukan hala tuju masa depan sesebuah negara.

“Kita dapat melihat dengan jelas bahawa trend ini amat relevan dalam konflik Rusia-Ukraine apabila teknologi paling maju diperlukan untuk menentukan kelangsungan hidup dan semangat sesebuah negara.

“Teknologi terkini, seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT), pengurusan data raya dan banyak lagi, penting dalam memastikan daya saing dalam dunia yang berkembang pesat ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan