SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan merancang beberapa pembangunan di negeri ini secara holistik bagi tempoh lima tahun sehingga 2026, antaranya Pelan Pembangunan Komprehensif Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 dan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (2021-2025).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pembangunan komprehensif MVV 2.0 itu menumpukan kepada kawasan yang diklasifikasikan sebagai Parcel A di Nilai yang merupakan rebakan Lembah Klang dan Putrajaya yang dihubungkan melalui Lebuhraya Utara Selatan.
“Pembangunan taman perindustrian baharu di Hamilton, Parcel A, MVV 2.0 yang dilancarkan pada 26 Okt tahun lepas dijangka siap menjelang November 2023, manakala New Labu kini dalam penyediaan pelan susun atur oleh pemaju dengan penetapan pelancaran pada 2024.
“Pembangunan ini akan dapat membantu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini. Selain itu, perbincangan bagi pembangunan Parcel B dan C, MVV 2.0 sedang berjalan antara agensi berkaitan pelaburan kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mary Josephine Prittam Singh (PH-Rahang) mengenai perancangan pembangunan Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun akan datang pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Selain itu, Aminuddin berkata menerusi Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (2021-2025), beberapa bidang tumpuan dikenal pasti sebagai pencetus perubahan baharu kepada pembangunan ekonomi termasuk sektor bernilai tinggi dan strategik selain meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka tumbuh antara 4.6 peratus sehingga 5.5 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2025 di mana pertumbuhan yang lebih baik berbanding 2.1 peratus untuk tempoh 2016 hingga 2020,” katanya.
Menurutnya pendapatan per kapita pula diunjur meningkat sebanyak 3.36 peratus setahun berbanding hanya 1.23 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020.
“Seiring dengan peningkatan KDNK dan pendapatan per kapita, jumlah kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak 3.4 peratus setahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan menumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas secara holistik di kawasan luar bandar melalui Pelan Pembangunan Luar Bandar 2019-2040, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada penyediaan infrastruktur dan liputan telekomunikasi bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat akses berkualiti kepada kesalinghubungan digital serta menambah baik ketersambungan liputan telekomunikasi.
“Menjelang 2025, disasarkan 100 peratus kawasan berpenduduk tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar di Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya mendapat kemudahan liputan jalur lebar 4G,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial