| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Program Seri Ramadan Bubur Lambuk Resepi Istimewa hari ini.
Program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan K-KOMM (PCK-KOMM) yang dipimpin pengerusinya Datin Seri Hairani Mohd Tajudin menggunakan resipi istimewa arwah ibunya dari Pulau Pinang untuk masakan bubur lambuk itu.
Agihan dilakukan Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek yang juga Penasihat Puspanita Cawangan K-KOMM yang turut ‘turun padang’ mengacau bubur lambuk sekitar 12 tengah hari tadi di pekarangan kompleks K-KOMM di sini.
Mohammad ketika berucap pada majlis tersebut berkata program tahunan itu melibatkan kerjasama agensi di bawah kementerian dan merupakan hasil aspirasi Keluarga Malaysia bertujuan mengeratkan ukhwah antara semua agensi.
"Kita keluarga K-KOMM bergabung tenaga di bawah kepimpinan pengerusi Puspanita K-KOMM. Terima kasih atas komitmen yang diberikan setiap anggota yang bertungkus lumus memasak lima periuk bubur lambuk sejak pagi," katanya.
Selain warga K-KOMM, program berkenaan turut disertai petugas agensi di bawah K-KOMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial