AM

Agong, Raja Permaisuri berbuka bersama ahli Kabinet, perwakilan asing

18/04/2022 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 18  April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri, orang kenamaan dan perwakilan asing di Istana Negara, di sini malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir di majlis itu bersama Jemaah Menteri yang lain  antaranya Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Orang kenamaan lain yang turut hadir di majlis itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Yaman, Turki, Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir, Senegal, Bosnia Herzegovina, Palestin, Iraq, Azerbaijan, Bahrain, Thailand, Bangladesh, Filipina, India dan Brunei.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta sunat Tarawih berjemaah bersama tetamu dan diimamkan Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Majlis berbuka puasa itu adalah kali pertama diadakan di Istana Negara selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan