Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Persatuan peniaga runcit atau organisasi berkaitan perlu bekerjasama untuk menyokong usaha kerajaan melalui program ePemula, kata ahli ekonomi.
Pensyarah di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata antara lain, program ePemula boleh membantu meningkatkan ekonomi perniagaan kecil.
“Apabila melibatkan pembelian barang yang diinginkan, setiap orang mempunyai minat yang berbeza, terutama generasi muda kita, jadi mungkin garis panduan dan mekanisme baharu diperlukan untuk membimbing penerima mengenai cara membelanjakan e-kredit mereka supaya ia juga akan bantu peniaga,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ePemula akan menyokong matlamat kerajaan untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia melalui urus niaga perniagaan fizikal atau runcit, serta membantu memulihkan ekonomi perniagaan kecil.
“Justeru, persatuan atau organisasi peniaga perlu melaksanakan peranan mereka dan memberikan beberapa idea untuk membantu kerajaan mencapai sasaran dan aspirasi melalui program itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Sofian berpendapat mekanisme kredit ePemula boleh ditambah baik supaya pelaksanaannya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan tanpa sebarang masalah.
Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi ePemula, inisiatif untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia berumur 18 hingga 20 tahun, serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
Mengikut program itu, RM150 akan dikreditkan secara sekali sahaja ke dalam e-dompet penerima, justeru, kira-kira dua juta belia dijangka mendapat manfaat.
Program itu akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April, dan individu yang layak akan menerima e-kredit melalui aplikasi e-dompet terpilih, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial