KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini sejak ditubuhkan pada 16 April, 2002.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata sambutan ulang tahun itu membawa tema “SSM Dua Dekad : Inspirasi Kepercayaan Perniagaan" bagi memperingati evolusi serta perjalanan dan pencapaian SSM sepanjang tempoh 20 tahun.
Beliau berkata majlis sambutan itu yang akan diadakan di ibu pejabat SSM pada Jumaat ini akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“SSM telah merangka pelbagai aktiviti dan program sempena sambutan hari yang bersejarah ini. Kami amat menghargai semua pelanggan SSM yang menjadi tunjang kepada perkhidmatan yang disediakan sejak 20 tahun lepas.
"SSM mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dirancang bagi memeriahkan sambutan ulang tahun SSM ke-20 dari 12-15 April," katanya kepada Bernama.
Menjelang hari kemuncak sambutan tersebut, badan yang mengawal selia syarikat dan perniagaan di Malaysia itu akan menganjurkan pelbagai program menarik termasuk program Corporate Talk bertajuk “MyCoID - Start Your Own Company Now” yang akan diadakan pada 15 April.
Program Corporate Talk itu akan memberi fokus kepada cara pemerbadanan syarikat dalam talian melalui platform MyCoID.
Peserta program itu layak mendapat satu mata ‘Continuing Professional Education’ (CPE) yang merupakan salah satu syarat pembaharuan lesen bertujuan untuk memastikan setiausaha syarikat memiliki atau mencapai tahap kemahiran yang tinggi dalam menjalankan tugas.
Selain itu, SSM juga akan menganjurkan program Biztalk dengan tiga topik menarik iaitu ‘Company Limited By Guarantee : Things To Know’, Maklumat Korporat SSM : Tepat & Cepat dan ‘Companies Act 2016 : Common Offences’ dari 12 hingga 15 April.
Di samping itu, SSM juga akan membuka gerai jualan aneka pilihan, reruai pameran yang akan menempatkan antara lainnya kaunter khidmat nasihat bagi membantu orang ramai mendapatkan nasihat berkenaan urusan pendaftaran perniagaan dan syarikat serta urusan lain yang berkaitan dengan SSM.
“Kemuncak sambutan ulang tahun ke-20 SSM adalah pelancaran satu penerbitan khas berjudul “SSM Dua Dekad : Inspirasi Kepercayaan Perniagaan" bagi mendokumenkan semua pencapaian SSM sepanjang tempoh 20 tahun ini,” katanya.
Terdahulu, bagi merancakkan sambutan kali ini, SSM telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program melibatkan kesemua bahagian, pejabat negeri dan pejabat cawangan di seluruh negara.
Antara program yang telah dilaksanakan termasuklah Program Bimbingan Usahawan 2022 (PBU22) pada 24 Februari lepas yang berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan usahawan golongan B40.
Sepanjang bulan Mac pula, SSM telah menganjurkan Program Kaunter Bergerak Pendaftaran Perniagaan Ezbiz On.The.Go di Pasar Pagi Taman Midah, Program Virtual Run SSM dan Program Serahan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Rumah Kebajikan Karunai Illam dan Pertubuhan Cahaya Hati Selangor serta Pesara SSM.
Di samping itu, SSM juga telah menganjurkan Program Usahawan Muda 2022 pada 31 Mac yang melibatkan penyertaan lebih 1,200 pelajar daripada Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Putrajaya, Pusat Latihan GIATMARA Kuala Lumpur, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Putrajaya.
SSM juga turut melaksanakan Program Sumbangan Peralatan Perubatan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang yang disaksikan oleh Alexander.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid juga turut menyertai Program Mega Walkabout SSM di Tapak Bazar Ramadhan@TLK Taman Tasik Permaisuri, Cheras dan majlis Sumbangan Zakat kepada Asnaf Usahawan pada 8 April, yang mana beliau telah menyantuni lebih 200 peniaga di lokasi berkenaan.
Program Mega Walkabout itu di adakan serentak di empat buah negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu serta Negeri Sembilan dan akan turut dilaksanakan di lokasi terpilih lain di seluruh negara.
SSM yang mula beroperasi pada 16 April, 2002, merupakan badan berkanun yang terbentuk hasil daripada penggabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB).
Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawal selia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.
SSM juga turut menguatkuasakan beberapa akta, antaranya Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001, Akta Syarikat 2016, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, Akta Syarikat Amanah 1949 dan Akta Kumpulan Wang Kutu 1971.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial