EKONOMI

Intelli-Mark sedia penuhi permintaan untuk tingkatkan operasi gudang

10/04/2022 04:17 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Syarikat penyelesaian teknologi maklumat Intelli-Mark Consolidated Sdn Bhd melihat potensi kukuh untuk Sistem Pengurusan Gudang atau Warehouse Management System (WMS) ketika perniagaan bersiap sedia untuk menambah baik operasi gudang mereka berikutan pandemik COVID-19 dan krisis rantaian bekalan global.

Aplikasi perisian WMS itu yang disediakan oleh anak syarikat TheScanhub, membolehkan pengeluar/pengilang dan pengendali e-dagang meningkatkan kecekapan operasi gudang masing-masing dengan cara yang lebih digital.

Pengarah Perniagaan Intelli-Mark Tan Hann Yang berkata 10 syarikat di Malaysia telah berjaya melaksanakan WMS dan ia kini menyasarkan enam syarikat lagi tahun ini.

“Kami juga merancang untuk meneroka ke luar negara melalui perkongsian dengan syarikat-syarikat di Thailand dan Indonesia. Bagaimanapun, perkongsian itu masih belum dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau menambah TheScanHub kini sedang melaksanakan sistemnya untuk tiga buah syarikat.

“Ia baru permulaan tahun, jadi saya percaya sasaran untuk tahun ini boleh dicapai," kata Tan sambil menambah  ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk melaksanakan sistem sepenuhnya.

Beliau berkata Intelli-Mark menjangka dapat meningkatkan sumbangan WMS kepada pendapatannya daripada 15 peratus pada masa ini kepada setinggi 35 peratus dalam masa tiga tahun.

Menurut Tan, sistem pengurusan gudang itu membantu syarikat-syarikat mengawal dan mengurus operasi seharian di gudang -- ia menguruskan inventori yang diterima, mengoptimumkan pesanan pemilihan dan penghantaran serta memaklumkan tentang penambahan semula inventori apabila tiba masanya.

“Dengan adanya WMS dalam gudang, ia meningkatkan keterlihatan dan ketepatan tahap stok, sekali gus mengurangkan kerugian yang tidak perlu bagi syarikat.

"WMS menyediakan data yang hampir secara langsung mengenai tahap stok di gudang. Pihak pengurusan dapat mengesan lokasi stok kerana sistem itu menjejaki setiap pergerakan stok di dalam gudang -- ini bermula apabila stok masuk dan stok keluar dari gudang,” katanya.

Tan berkata dengan pandemik yang berterusan ditambah pula isu rantaian bekalan global, sesetengah syarikat telah mula mengubah pendekatan strategi penyimpanan gudang mereka.

“Sebelum ini, banyak syarikat mengamalkan pendekatan menggunakannya pada ketika itu tetapi sekarang dengan krisis rantaian bekalan global, mereka beralih kepada menggunakan sekiranya perlu (langkah berjaga-jaga).

“Oleh itu, mereka akan membuat lebih banyak persediaan bukan seperti sebelum ini. Ini bermakna terdapat pertambahan dalam aktiviti gudang dan apabila stok bertambah, mereka memerlukan satu sistem untuk menjadikannya lebih berkesan. Di sinilah WMS boleh membantu. 

“Pada pendapat kami, perniagaan perlu lebih bersedia kerana mereka tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya berharap lebih banyak syarikat di Malaysia dapat mendigitalkan operasi gudang mereka dan bersedia untuk mengendalikan inventori masing-masing dengan lebih baik," katanya.

Tan menjelaskan salah satu pelanggan syarikat yang mempunyai nilai stok berjumlah RM80 juta di gudang, sebelum ini perlu menghapus kira (write off) sebanyak RM8 juta setiap tahun apabila melakukan penyelarasan ekoran terdapat percanggahan besar antara stok sebenar dan apa yang ditunjukkan dalam sistem inventori.

“Hal ini menjadikan pelanggan itu amat bimbang dan selepas melaksanakan WMS,  percanggahan (peratusan) telah berjaya dikurangkan daripada dua digit kepada digit tunggal.

“Mereka mengurangkan varian stok antara sistem dan stok fizikal sebenar daripada 10 peratus kepada tiga peratus semasa pengambilan stok dan dari situlah apabila kuantiti stok disahkan, justeru, menerusi sistem ini, pelanggan itu berjaya menyelamatkan potensi kerugian sebanyak tujuh peratus secara purata,” katanya.

Perisian WMS TheScanHub itu dibangunkan pada 2014 dan adalah untuk pengeluar,  pengendali e-dagang dan syarikat-syarikat logistik pihak ketiga.

“Pada pendapat saya, adalah agak sukar (untuk menguruskan aktiviti gudang) bagi perniagaan yang mengendalikan jumlah volum harian yang besar di gudang mereka dengan ratusan barangan masuk dan keluar setiap hari; dan bagi gudang yang mengendalikan kedua-dua bahan mentah dan barang siap.

"Kami akan melihat sejauh mana aktiviti anda (pelanggan berpotensi) aktif dan nilai stok. Jika nilainya besar, anda mungkin perlu melabur dalam WMS ini," tambah beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan