JENAYAH & MAHKAMAH

PENGHANTAR MAKANAN DITAHAN CABUL DUA WANITA DI CYBERJAYA

06/04/2022 06:56 PM

CYBERJAYA, 6 April (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang khidmat penghantar makanan yang disyaki terlibat dalam dua kes mencabul wanita di kawasan parkir pusat komersial Tamarind Square, di sini, petang semalam.

Bertindak atas aduan kes cabul yang diterima daripada dua wanita masing-masing berumur 27 tahun dan 34 tahun di kawasan parkir pusat komersial berkenaan sekitar 2 petang semalam itu, polis melakukan semakan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) bagi memburu suspek.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis berjaya menahan lelaki tempatan berusia 20 tahun itu di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini, pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

"Dia mengaku terlibat dalam kes yang disiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaaan kerana mencabul.

Menurut Wan Kamarul Azran, semakan menerusi rakaman CCTV mendapati suspek tiba di kawasan pusat komersial itu pada kira-kira 1.57 tengah hari semalam dengan menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115 ZR berwarna merah, dan meletakkan motosikalnya di kawasan parkir aras bawah tanah serta dilihat berjalan menuju ke kawasan kaki lima pusat berkenaan.

Polis Sepang menerima dua laporan berkaitan kes cabul di pusat komersial itu semalam, dengan kes pertama melibatkan kes seorang pembantu peribadi di kawasan  parkir aras bawah tanah pada pukul 2 petang, dan kes kedua, 15 minit kemudian melibatkan wanita berumur 34 tahun di hadapan lif tingkat 2 pusat berkenaan.

Wan Kamarul Azran berkata suspek juga dipercayai terlibat dalam kes cabul di pusat komersial sama pada 21 Dis tahun lepas.

Beliau berkata suspek mempunyai rekod jenayah iaitu mencuri motosikal dan memiliki barang curi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan