AM

AS lulus bantuan keselamatan hampir RM1 bilion untuk Malaysia - USARPAC

28/03/2022 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) meluluskan kira-kira AS$230 juta iaitu hampir RM1 bilion bantuan keselamatan untuk Malaysia sejak tahun 2018 antara lain dalam program latihan dan pertukaran berkaitan ketenteraan.

Jeneral Memerintah Tentera Amerika Syarikat Pasifik (USARPAC) Charles A. Flynn berkata bantuan itu juga termasuk penyediaan peralatan serta pendidikan.

“AS berbangga dapat bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dalam bidang pembangunan utama dan menantikan perbincangan Malaysia-AS pada tahun ini yang menjanjikan perkembangan hubungan dua hala yang lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan US Partnership Pavilion sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Turut hadir Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. Mcfeeters.

Flynn berkata perkongsian antara AS dan Malaysia diasaskan berdasarkan prinsip keselamatan dan kesejahteraan serta hubungan pelbagai hala dan perkongsian beban di seluruh Asia Tenggara.

“Tentera Malaysia menunjukkan prinsip-prinsip ini dalam komitmen mereka ketika menyertai latihan dua hala seperti Keris Strike dan Bersama Warriors walaupun berdepan cabaran COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata akhir tahun ini, dua perajurit Malaysia akan menjalani latihan dalam operasi hutan di Lightning Academy di Hawaii sebagai sebahagian daripada program latihan pertukaran.

Sementara itu, mengulas mengenai DSA dan Natsec 2022, Mcfeeters mengucapkan penghargaan kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana menganjurkan acara tersebut.

“Malaysia sangat penting bagi Amerika Syarikat, ekonomi ketiga terbesar di ASEAN dan rakan dagang AS kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Sebanyak 12 syarikat AS mempamerkan produk mereka di pavilion AS bermula hari ini hingga Khamis.

Pavilion AS adalah antara 20 pavilion yang diwakili 20 negara yang mengambil bahagian dalam acara pertahanan antarabangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan