KOTA KINABALU, 26 Mac (Bernama) -- Seramai 4,728 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke- 22 bermula hari ini.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata daripada jumlah itu, seramai 4,126 orang menerima Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (452), Doktor Falsafah (67) dan Diploma Pasca (83).
Beliau berkata dalam konvokesyen kali ini seramai 206 graduan adalah dari kelas pertama, golongan B40 (166), graduan antarabangsa (134) dan Orang Kurang Upaya (10).
"Daripada keseluruhan graduan ini, 55.9 peratus berasal dari Sabah diikuti Sarawak sebanyak 7.6 peratus dan negeri-negeri lain di Semenanjung," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini baru-baru ini.
Majlis konvokesyen itu akan berlangsung selama enam hari hingga 31 Mac ini di Dewan Canselor universiti itu.
UMS juga dijadual mengadakan konvokesyen ke-23 pada Jun depan bagi meraikan graduan yang tamat pengajian pada 2021 dan konvokesyen ke-24 pada November bagi graduan tamat pengajian tahun ini.
Taufiq berkata graduan dari China merekodkan seramai 74 orang diikuti Negara Brunei Darussalam (24), Timor Leste (10), Indonesia (tujuh), Pakistan dan Vietnam masing-masing empat, Bangladesh (tiga) dan Mesir (dua).
Menurutnya hingga kini UMS berjaya melahirkan 74,090 graduan malah sejak 2019 pencapaian kebolehpasaran graduan UMS melebihi 90 peratus dan pada tahun lepas mencatatkan rekod tertinggi dengan 96 peratus.
Beliau yang menerajui UMS sejak 2019 berkata pencapaian diperoleh apabila universiti itu komited melatih graduannya untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran melalui kursus keusahawanan dan ‘train and place’ dengan kerjasama agensi kerajaan negeri mahupun syarikat swasta di Semenanjung.
Katanya, tahun lepas juga UMS berjaya memperbaiki kedudukannya dalam kelompok 33 peratus universiti terbaik di Asia berbanding 37.9 peratus pada 2020 manakala dalam UI GreenMetric (UIG) World University Rankings, UMS berada pada kedudukan ke-67.
"UMS juga memperbaiki pencapaian apabila tersenarai dalam kalangan tujuh peratus universiti lestari tertinggi dunia selain mengekalkan kedudukan UIG ketiga di peringkat kebangsaan dan ke-20 di Asia," katanya sambil menambah pengurusan UMS juga berhasrat untuk menyertai Times Higher Education (THE) bagi menarik lebih ramai sarjana mahupun pakar universiti tersohor dunia untuk bekerjasama dengan UMS.
Taufiq berkata nama UMS kini semakin dikenali selepas jumlah penerbitan jurnal mencatat rekod tertinggi iaitu 1,179 penerbitan terindeks Scopus manakala jumlah sitasi adalah sebanyak 16,457 pada tahun lepas.
Malah dalam suasana pandemik COVID-19, UMS terus melakar kejayaan apabila sembilan pensyarahnya tersenarai dalam kumpulan dua peratus saintis terbaik dunia tahun lepas berbanding hanya lima orang pada 2020.
"UMS turut meraih lima anugerah pingat emas, enam perak dan satu gangsa dalam International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX'20) dan dua emas, empat perak serta empat gangsa dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2021," katanya.
Taufiq berkata berdasarkan pencapaian itu, beliau yakin graduan UMS mampu memenuhi kehendak para majikan terutama pada masa kini untuk diambil bekerja supaya dapat membantu proses pemulihan ekonomi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.
Katanya majikan juga mempunyai peranan untuk melatih graduan baharu dengan lebih khusus bagi menambah latihan yang telah dipelajari semasa berada di universiti agar mereka dapat meningkatkan produktiviti dengan baik.
"Saya juga menasihatkan kepada graduan supaya tidak terlalu memilih pekerjaan kerana kelulusan yang mereka peroleh itu tidak mengehadkan kepada bidang yang dikhususkan tetapi boleh bekerja dalam bidang-bidang lain," katanya sambil berharap agar semua graduan UMS dapat mengaplikasikan segala ilmu dan pengalaman apabila bekerja nanti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial