LABUAN, 24 Mac (Bernama) -- Jabatan Perikanan Labuan melepaskan 4,000 benih ikan siakap ke sungai hutan simpan paya bakau Kina Benuwa di sini hari ini, bersempena dengan program pelepasan benih ikan air tawar ke perairan umum yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata pelepasan benih ikan itu bertujuan untuk menjana semula, melindungi dan meningkatkan kepelbagaian sumber perikanan di kawasan itu.
Beliau berkata pelepasan hari ini adalah yang ketiga dengan pertama dilakukan pada 2020 melibatkan 1,500 benih ikan spesies sama, diikuti 1,200 benih ikan pada 2021.
“Melepaskan benih ikan adalah satu daripada aktiviti pemuliharaan air yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pemeliharaan sumber air...dan pelepasan benih ikan ini akan membantu menambah stok ikan di sungai,” katanya kepada Bernama selepas program itu di sini hari ini.
Faizal berkata aktiviti pelepasan benih ikan juga membolehkan masyarakat tempatan mendapat keuntungan sebaik sahaja ikan itu matang.
-- LAGI
PELEPASAN-BENIH IKAN 2 (AKHIR) LABUAN
“Sungai Kina Benuwa dianggap sebagai sumber perikanan yang bernilai dengan banyak spesies jarang ditemui...bagaimanapun selepas kempen pelepasan benih ikan dimulakan pada 2020 di sini, sungai Kina Benuwa telah menjadi habitat untuk ikan siakap,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail yang turut hadir pada program itu berkata pihak berkuasa tempatan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perikanan Labuan bagi memastikan sungai hutan simpan paya bakau Kina Benuwa terus menjadi tarikan agropelancongan.
Kina Benuwa yang meliputi 97,604 hektar kawasan hutan paya bakau, terkenal sebagai lokasi memancing dan agropelancongan, namun kini dikatakan jumlah ikan tidak sebanyak seperti tahun-tahun lepas.
Rithuan turut mengingatkan komuniti tempatan agar berhati-hati ketika memancing kerana kawasan paya bakau dikenal pasti sebagai habitat buaya air masin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial