KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- MDC Asia Link Bhd membuka semula secara rasmi Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi, Kota Damansara, dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM5 juta.
Penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan halal itu dalam satu kenyataan hari ini berkata hospital itu akan menjadi cawangan flagship kepada operasi kumpulan yang lain dari segi pengurusan, operasi dan reka bentuk dalaman serta luaran.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Aslan Bacho berkata pembukaan semula hospital itu adalah permulaan kepada langkah kumpulan untuk terus memperkukuhkan kehadirannya dalam sektor kesihatan Halal di Malaysia dan seluruh rantau ini.
“Langkah kumpulan mengambil alih dan memberi wajah baharu kepada hospital ini adalah batu loncatan ke arah pembukaan lebih banyak hospital berkonsepkan hospital ibu dan anak di seluruh negara pada masa akan datang.
“Ketika ini kumpulan mempunyai beberapa hospital yang berpotensi untuk diambil alih atau mengambil sebahagian besar kepentingan di dalamnya,” katanya.
Menurutnya, perancangan kumpulan itu untuk memiliki hospital serta pelbagai perkhidmatan kesihatan lain adalah bagi memberikan orang ramai pilihan perubatan yang terbaik pada harga mampu milik.
Aslan berkata, antara tarikan utama yang akan diperkenalkan adalah pusat berpantang ibu selepas bersalin yang dinamakan sebgai 'The Sanctuary – Pusrawi' yang akan menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin dan bayi.
“Konsep ini akan memberikan kemudahan dan keselesaan mutlak kepada pelanggan,” katanya.
Ketika ini kumpulan itu mempunyai lebih 14 rangkaian klinik pergigian My Dental Care di sekitar Lembah Klang, farmasi serta aplikasi mudah alih Hi-Doktor dengan inisiatif “Digital Health Citizen” (DHC).
MDC Asia Link berkata ia juga optimis langkah pembukaan semula hospital itu serta perancangan masa hadapannya memiliki lebih banyak hospital akan membantu perancangan kumpulan untuk disenaraikan di dalam Bursa Malaysia, yang akan dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial