AM

Peralihan Monsun: ATM rancang strategi di kawasan terjejas

20/03/2022 03:08 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah merancang pelbagai strategi dan mekanisme bagi membantu operasi banjir, khususnya di kawasan terjejas teruk susulan peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga Mei depan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata perkara itu sudahpun dibincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah, supaya segala atur gerak kerja berjalan dengan lancar.

“Kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi peralihan monsun ini. Sistem dan mekanismenya pun sudah ada. Untuk atur gerak di peringkat awal (tumpuan) di kawasan-kawasan yang terjejas, dan seterusnya menghantar aset-aset ke tempat-tempat yang dijangka berisiko tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Latihan dan Doktrin TDS Brigedier Jeneral Andrew Lim Heng Tiew.

Pada 11 Mac, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula 14 Mac hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 Nov lepas.

Berhubung Eksesais Semangat Bersatu, Muhammad Hafizuddeain berkata tujuan utama latihan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan kerjasama ketenteraan antara pasukan dari Malaysia dan Singapura, sekali gus melahirkan kesefahaman dan toleransi yang jitu antara kedua-dua negara.

Beliau berkata latihan bermula 18 hingga 25 Mac itu melibatkan penyertaan seramai 295 pegawai dan anggota TDM dan 95 pegawai dan anggota TDS.

Menurut beliau, konsep eksesais tersebut adalah menjurus kepada operasi ofensif, melibatkan dua fasa peperangan konvensional di kawasan am Ulu Tebrau.

Tambahnya, latihan itu juga menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen tempur dan bantuan tempur, dalam menangani sebarang ancaman selain mencapai kerjasama bilateral antara dua negara itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan