EKONOMI

Flash Express Malaysia sasar wujud 10,000 peluang pekerjaan tahun ini

18/03/2022 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Flash Malaysia Express Sdn Bhd, unit di bawah syarikat perkhidmatan logistik e-dagang yang berpangkalan di Thailand, Flash Group, menyasar untuk mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Di Wei Jie berkata daripada jumlah itu, 75 peratus tenaga kerja akan ditempatkan di perkhidmatan barisan hadapan, 10 peratus untuk gudang, dan 15 peratus di bahagian korporat. 

“Kami memulakan operasi pada 25 Okt, 2021, dengan hab tunggal di Klang, Selangor, dan pada masa ini kami mempunyai kira-kira 4,000 tenaga kerja,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran rasmi Flash Malaysia Express di sini hari ini. 

Beliau berkata Flash Express Malaysia dipacu oleh tiga perkhidmatan utama, iaitu pengambilan dari pintu ke pintu secara percuma, kadar penghantaran rendah dan operasi penghantaran selama 365 hari tanpa cuti.

“Setakat ini, Flash Express Malaysia telah mengembangkan perniagaannya dengan pesat dan memperoleh10 hab (lapan di Semenanjung Malaysia, dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak) dan 100 pusat perkhidmatan di seluruh negara.

“Kami kini menyediakan perkhidmatan di seluruh Malaysia, membuat kira-kira 30,000 penghantaran setiap hari,”  tambahnya. 

Di berkata syarikat itu juga merancang untuk membuka kira-kira lima lagi hab dengan lebih daripada 300 pusat perkhidmatan di seluruh negara pada 2022, didorong oleh peningkatan bilangan penghantaran setiap hari.

Terdahulu dalam ucapannya, Di berkata Flash Express Malaysia komited untuk memastikan kualiti pasukan yang profesional, diiktiraf sebagai organisasi berasaskan nilai teras dan meningkatkan tadbir urus syarikat dengan baik.

“E-dagang di Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Oleh itu, syarikat bertekad untuk menyediakan perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pelanggan dengan teliti dan bertanggungjawab.

“Pengembangan perniagaan kami di Malaysia bukan sahaja untuk membantu merangsang ekonomi Malaysia, tetapi kami juga komited untuk menyumbang secara positif dan menyediakan peluang pekerjaan di Malaysia,”  katanya.

Flash Group menjadi syarikat pemula niaga unicorn pertama Thailand pada tahun lepas selepas hanya tiga tahun beroperasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan