AM

Inisiatif 'lelaki qawwam' akan jadi sebahagian isi kandungan Kursus Praperkahwinan

15/03/2022 07:22 PM

LANGKAWI, 15 Mac (Bernama) -- Inisiatif memperkasakan lelaki yang mampu melindungi secara holistik dan membimbing serta menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab atau dipanggil 'lelaki qawwam', akan menjadi sebahagian isi kandungan dalam Kursus Praperkahwinan Islam selepas ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata garis panduan mengenai inisiatif itu, telah pun diwujudkan iaitu hasil daripada perbincangan lanjut pihaknya bersama pihak lain yang berkaitan dalam bidang itu.

“Sangat perlu silibus Kursus Praperkahwinan ini menitik beratkan soal 'lelaki qawwam' ataupun kehebatan kuasa untuk memayungi keluarga itu di tangan lelaki, bukan menunjukkan kejantanan dia sampai boleh buat apa saja kepada keluarga, tetapi bertanggungjawab, mengambil berat, empati (dan) sayang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Negara Kali Ke-44 Tahun 2022 di sini hari ini, pelancaran Buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata menerusi inisiatif itu nanti ia menonjolkan peranan kepimpinan lelaki yang baik dalam mengemudi rumah tangga, serta berupaya mempertahankan perkahwinan dengan lebih cekap dan berkesan sekali gus dapat mengelakkan perceraian berlaku.

“Bukan saja daripada sudut tanggungjawab sediakan segala kemudahan diperlukan, bahkan pendidikan dan lain lain lagi (malah ia) termasuk juga soal bagaimana nak membesarkan anak-anak berdasarkan kepada panduan dan tuntutan agama, supaya nanti tidak berlakunya pertambahan gejala sosial kerana ia bermula dari didikan awal keluarga di rumah, jadi ini yang kita tekankan,” katanya.

Beliau berkata pada tahun 2020, sebanyak  35,094 kes perceraian di seluruh negara direkodkan, dengan Selangor mencatatkan kadar perceraian tertinggi iaitu sejumlah 7,683 kes, manakala sebanyak 12,682 kes pula bagi statistik perceraian tahun lepas setakat 25 Ogos, yang Selangor juga negeri paling tinggi jumlah perceraian iaitu sejumlah 2,509 kes.

Ahmad Marzuk tidak menafikan bahawa, faktor kewangan dalam fasa pandemik ini juga antara penyebab perceraian itu berlaku dalam kalangan orang Islam di negara ini.

Mengenai persidangan itu, katanya penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan nikah, cerai dan rujuk, untuk disesuaikan dengan fasa endemik nanti menjadi antara topik perbincangan dalam persidangan tersebut.

“Kebiasaannya dalam tempoh pandemik ini, permohonan-permohonan untuk nikah, cerai dan rujuk ini agak ada sedikit gangguan. Jadi, pemurniannya akan diteliti dalam persidangan pada kali ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan