AM

Lapan ahli Dewan Negara dijadual angkat sumpah 21 Mac

10/03/2022 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac -- Lapan ahli Dewan Negara yang baru dilantik dijadual mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan Dewan Negara, 21 Mac ini.

Mereka ialah Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Senator Datuk Dr R. Nelson, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Senator Puan Noraini Idris, Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar, Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dalam kenyataan berkata perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Pra-Persidangan Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 Dewan Negara yang dipengerusikan beliau hari ini.

Beliau berkata sebanyak 783 pertanyaan melibatkan 670 pertanyaan lisan dan 113 pertanyaan bertulis telah diterima bagi persidangan tersebut yang dijadual berlangsung hingga 31 Mac ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata tiga Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah turut akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

Beliau menyeru agar setiap pengerusi mengoperasikan jawatankuasa masing-masing, memahami landasan kerja dan perlu membuka pintu kepada rakyat untuk mengajukan sebarang pertanyaan. 

"Jawatankuasa ini juga boleh memanggil sesiapa sahaja untuk memberikan penjelasan terhadap sebarang aduan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan