AM

Pengusaha kedai makan ternak itik pedaging jana pendapatan sampingan

10/03/2022 04:58 PM

KOTA BHARU, 10 Mac -- Permintaan tinggi terhadap itik baka Peking atau Cherry Valley (itik pedaging) mendorong seorang pengusaha kedai makan di Kampung Aril, Pauh Lima di sini, menternak haiwan itu secara komersial sebagai sumber pendapatan sampingan. 

Khairul Bahri Wan Ibrahim, 40, berkata usaha itu bermula sejak Januari lepas dengan mengeluarkan  modal sendiri sebanyak RM3,000 bagi membina reban dan membeli anak itik, selain mendapat tunjuk ajar daripada rakannya, Mohd Abd Nasir Mohd Salleh, 58, yang pernah mengikuti kursus penternakan itik di Melaka. 

"Ketika ini saya masih mengusahakan kedai makan, namun memandangkan pendapatan tidak menentu sejak pandemik COVID-19, saya memutuskan untuk menternak itik pedaging bagi mencari pendapatan sampingan.

Itik pedaging ini adalah alternatif kepada itik serati yang semakin diminati oleh penggemarnya," katanya ketika ditemui pemberita di tapak penternakan di Kampung Aril, Pauh Lima di sini, hari ini.

Menurut Khairul Bahri itik pedaging perlu melalui tempoh matang (dewasa) selama 50 hari, dan diternak dalam bilangan yang terhad iaitu 140 ekor untuk satu musim ternakan, yang kemudian ditambah mengikut jadual khas bagi memastikan bekalan tidak putus.

“Setiap bulan saya memperuntukan kira-kira RM1,500 untuk membeli dedak, ubat-ubatan termasuk vitamin bagi memastikan ternakan ini tidak terkena serangan penyakit, selain dapat mencapai berat matang lebih tiga kilogram untuk dijual kepada pemborong.

Biasanya, pemborong akan membeli itik pedaging hidup untuk diproses sendiri seperti mencabut bulu, dilayur dan dipotong kecil, sebelum dijual kepada pembekal sekitar Bachok, Kota Bharu serta Machang," katanya sambil menambah itik pedaging dijual pada harga RM12 sekilogram.

Dia berkata antara cabaran dalam penternakan tersebut ialah kematian anak itik yang baharu menetas kerana tidak boleh terdedah dengan cuaca lembap termasuk hujan.

"Pada waktu pagi hingga petang itik ini dibiarkan berada di luar reban dan sebelum dimasukkan semula ke dalam reban menjelang senja.

Berdasarkan permintaaan dan potensi itik pedaging yang semakin tinggi, saya berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan perladangan dapat memberi bimbingan serta bantuan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan