AM

PEMBANGUNAN EKONOMI SABAH BERPOTENSI DIPERCEPAT MELALUI DIGITALISASI - ADHAM

01/03/2022 07:09 PM

KOTA KINABALU, 1 Mac -- Pembangunan ekonomi di Sabah berpotensi untuk dipercepat dengan digitalisasi terutama melibatkan sektor ekonomi utama negeri ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau memberi contoh percambahan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian pintar dan akuakultur, yang menurutnya mampu meningkatkan kemahiran petani tempatan selain meningkatkan hasil yang mereka perolehi.

“Melalui teknologi IoT, petani mempunyai akses kepada maklumat masa nyata ataupun ‘real time data’ untuk menjejak ramalan cuaca, kualiti udara, tahap kelembapan, jumlah cahaya, suhu, keadaan tanah dan banyak lagi data untuk memastikan pertumbuhan tanaman yang lebih sihat.

“Percambahan penggunaan IoT dalam perindustrian di Malaysia juga dijangka akan menyumbang RM9.8 billion kepada pendapatan negara kasar pada 2025,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran program rintis Sabah Sandbox Digital IoT di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan majlis itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.

Adham berkata melalui IoT, syarikat tempatan Sabah boleh mengautomasi operasi dan ini akan mengurangkan kos buruh, mengurangkan pembaziran dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan daya saing dengan menurunkan kos pembuatan, serta meningkatkan ketelusan dengan pelanggan.

“IoT juga akan mempercepatkan adaptasi teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan dan teknologi robotik, seterusnya membuka ruang kepada ‘monetization of data’,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Sabah Sandbox Digital IoT ini akan melahirkan ekosistem industri IoT untuk menggalakkan perkembangan, penyebaran dan penggunaan teknologi IoT, serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai satu pusat kecemerlangan IoT untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya percaya Sandbox Digital IoT ini juga dapat menarik pakar dalam pelbagai bidang untuk berkumpul dan menggembeleng tenaga dan seterusnya melahirkan idea serta mencetuskan ilham untuk pembangunan negeri dalam pelbagai sektor yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, Yakub berkata Sabah Sandbox Digital IoT merupakan pusat sehenti teknologi IoT kelapan seumpamanya di negara ini dan yang pertama di Malaysia Timur.

Beliau berkata pusat yang akan ditempat di Wisma Bandara di sini akan mengumpulkan tenaga pakar dalam teknologi IoT bagi memberikan panduan, bimbingan dan bantuan kepada penduduk tempatan serta pemain industri Sabah dalam teknologi tersebut.

“Ia umpama sebuah makmal teknologi bagi membantu bangunkan inovasi dan membantu hingga ke peringkat pemasaran, ia akan merancakkan pembangunan inovasi bagi membentuk ekonomi negeri Sabah serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan