EKONOMI

Kerjaya Prospek dapat kontrak pembinaan bernilai RM710.1 juta

22/02/2022 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM710.1 juta daripada Nikmat Merpati Sdn Bhd untuk pembinaan bangunan utama dan kerja-kerja luaran terhadap cadangan sebuah projek pembangunan kediaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata kontrak itu bukan sahaja mencatatkan pencapaian penting bagi kumpulan tersebut tetapi juga mewakili perolehan kontrak terbesar daripada pihak luar dalam sejarah korporatnya.

"Ia mencerminkan rekod prestasi terbaik kami dan keupayaan untuk mendapatkan kontrak yang besar daripada pelanggan kami," katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Nikmat Merpati dan Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, hari ini.

Kerjaya Prospek (M) telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Nikmat Merpati untuk pembangunan Astrum Ampang, sebuah Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) seluas 2.73 hektar yang terletak berhampiran Jalan Jelatek di Kuala Lumpur dan Jalan Ampang, Selangor.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memanfaatkan kepakaran teras kami untuk mendapatkan projek baharu. Ketika negara mula pulih selepas terjejas akibat COVID-19, syarikat ini kekal optimistik untuk mencapai sasaran perolehan kontrak kami sebanyak RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2022,” kata Tee.

Dengan pemberian kontrak baharu itu, nilai perolehan kontrak tertunggak Kerjaya Prospek berjumlah RM4.1 bilion, ia akan mengekalkan pendapatan Kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Astrum Ampang dengan nilai pembangunan kasar RM1.6 bilion terdiri daripada enam menara, menawarkan sejumlah 5,255 unit termasuk pejabat kecil/pejabat rumah (SOHO), pangsapuri dan ruang runcit.

Projek ini dibangunkan oleh Kumpulan Setia Awan yang mempunyai pemegang saham bersama Nikmat Merpati, projek ini akan bermula pada 15 Jun, 2022 dan dijangka siap menjelang September tahun 2026.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Setia Awan bagi Wilayah Tengah, Ng Teck Hua berkata kerjasama strategik dengan Kerjaya Prospek merupakan sinergi hebat yang akan memanfaatkan Astrum Ampang, pembangunan utama kumpulan itu di Lembah Klang.

"Sebagai kontraktor utama tersenarai awam yang terkenal, Kerjaya Prospek terkenal dengan mutu kerja yang berkualiti, teknologi pembinaan canggih dan portfolio mengagumkan selama bertahun-tahun dalam industri pembinaan.

"Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi Setia Awan dalam menyampaikan produk pembangunan hartanah yang dipacu nilai, berkualiti, inovatif dan mampan kepada pembeli rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Wilayah Tengah Kumpulan Setia Awan, James Bruyns berkata Fasa Satu Astrum Ampang terdiri daripada lot kedai, SOHO Transit dan rumah mampu milik telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 90 peratus sejak dilancarkan pada September tahun lepas.

“Salah satu faktor utama kadar pengambilan yang tinggi ialah program Skim Rumah Pertamaku yang menggalakkan pemilikan hartanah untuk pembeli rumah kali pertama.

"Lokasi projek di kawasan strategik dan TOD adalah satu lagi faktor untuk kadar pengambilan yang menggalakkan," katanya.

Fasa Kedua Astrum Ampang yang terdiri daripada SOHO Suites 1 dan SOHO Transit 2 akan dilancarkan pada bulan April tahun 2022.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan