Oleh Mohd Firdaus Md Saisi
KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Penggunaan Pengesan Lokasi Individu (PLB) oleh komuniti maritim, peminat aktiviti rekreasi di laut dan darat dapat menyegerakan kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku kecemasan terutama di kawasan yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi.
Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Lt Maritim Mohamad Hasni Lizarus berkata PLB menggunakan sistem teknologi satelit terkini iaitu Cospas-Sarsat, sistem cari dan menyelamat (SAR) berasaskan satelit yang mengesan amaran kecemasan berfrekuensi 406 megahertz (MHz) dengan sistem penyebaran maklumat lokasi kecemasan yang tepat kepada pihak berkuasa.
“PLB ini dapat memendekkan masa yang diambil oleh pasukan penyelamat untuk mencari mangsa kerana bila ia diaktifkan, koordinat lokasi kejadian akan dihantar ke Malaysia Mission Control Centre (MyMCC).
Sebelum pasukan penyelamat berhampiran dikerah ke lokasi MyMCC akan membuat pengesahan dengan menghubungi pemilik PLB atau waris yang didaftarkan di dalam sistem PLB untuk memastikan ia bukan diaktifkan dengan tidak sengaja atau ‘false alarm’,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Malaysia Maritime Week 2022, di sini.
Beliau berkata berbanding dengan ketiadaan PLB, jika sesebuah kapal itu mengalami kecemasan mereka tidak boleh memberitahu kedudukan mereka dengan tepat, terutama ketika laut bergelora atau ribut kerana kedudukan kapal akan berubah dengan cepat dan ini melambatkan kerja-kerja menyelamat.
Mohamad Hasni berkata mana-mana individu boleh memiliki PLB yang dijual dengan antara harga RM1,000 hingga RM1,700 seunit yang merupakan alat yang tahan lasak, kalis air dan mempunyai ketahanan bateri sehingga kira-kira lima tahun.
“Mereka yang ingin membeli PLB ini dinasihatkan untuk membeli PLB yang menggunakan kod Malaysia iaitu 533, agar isyarat kecemasan yang hantar diterima secara terus oleh MyMCC untuk memudahkan kerja menyelamat,” katanya.
Beliau berkata alat itu hendaklah didaftarkan di laman sesawang bim.mmea.gov.my secara percuma yang antaranya memerlukan maklumat peribadi seperti nombor telefon pengguna PLB berkenaan dan waris terdekat untuk tujuan pengesahan sekiranya berlaku kecemasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial