JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan komputer bernilai RM26,000 dirampas guna perisian cetak rompak

18/02/2022 01:12 PM

GEORGE TOWN, 18 Feb -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lima komputer dan tiga komputer riba bernilai RM26,000 kerana menggunakan perisian cetak rompak dalam tiga serbuan yang dijalankan selama tiga hari.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata pihaknya menjalankan serbuan itu pada Selasa, Rabu dan semalam bersama pihak pengadu daripada Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai menggunakan perisian cetak rompak.

"Dalam serbuan pertama di sebuah syarikat kejuruteraan di George Town, kami merampas tiga buah komputer yang digunakan syarikat itu mengandungi salinan langgaran (perisian cetak rompak) iaitu Windows 10 Pro, Office Home and Business 2016, Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019.

"Serbuan kedua di sebuah syarikat perhiasan dalaman di Bayan Lepas, kami telah menemukan dua komputer dan sebuah komputer riba mengandungi perisian Windows 7 Profesional, AutoCAD 2017, 3ds Max Design 2015, Recap 360 Pro, Photoshop CC, Illustrator CS6 dan Sketchup Pro 2016 yang dipercayai salinan langgaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata serbuan ketiga dijalankan di sebuah syarikat yang membuat komponen elektronik di George Town dan telah merampas dua komputer riba mengandungi salinan langgaran iaitu Windows 10 Home, Office Standard 2016, AutoCAD 2017, SolidWorks Premium 2017, AutoCAD 2011 for Mac, Excel for Mac, Word for Mac dan Powerpoint for Mac.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua salinan langgaran yang digunakan syarikat-syarikat itu tidak mendapat kebenaran pemilik hak cipta yang sebenar dan kes disiasat menurut Akta Hak Cipta 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan