AM

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN di Kemboja

15/02/2022 10:47 AM

PUTRAJAYA, 15 Feb -- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) pada 16 hingga 17 Feb di Phnom Penh, Kemboja.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sesi AMM itu adalah mesyuarat berjadual yang pertama bagi negara-negara anggota ASEAN untuk tahun 2022.

Sesi itu akan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) pada 15 hingga 16 Feb dan delegasi Malaysia ke ASEAN SOM diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar merangkap Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

“Antara isu yang akan dibincangkan menteri-menteri luar ASEAN adalah pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan yang dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak yang Berkaitan; dan hubungan luar ASEAN.

Di samping itu, menteri-menteri luar ASEAN juga akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan bidang-bidang keutamaan dan agenda ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja 2022; serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Dalam usaha ASEAN ke arah membangunkan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, Malaysia selaku Peneraju Utama dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, kekal komited untuk mendukung Kepaksian ASEAN dan menyokong Kemboja selaku Pengerusi bagi memastikan kemajuan berterusan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2022, bertemakan “ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together”

Sesi Pemukiman itu bakal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, dengan penyertaan menteri-menteri luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN serta wakil dari Myanmar.

Lawatan itu akan dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan Malaysia dan Kemboja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan