AM

Tuanku Muhriz berkenan lancar lagu identiti N.Sembilan

12/02/2022 03:09 AM

SEREMBAN, 11 Feb  -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli melancarkan Lagu Identiti Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini malam ini sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 9 malam itu diiringi Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata Lagu Identiti Negeri Sembilan merupakan projek kerajaan negeri bagi memastikan Negeri Sembilan mempunyai satu identiti khas dalam bentuk lagu sekali gus mengangkat keunikan negeri yang kaya dengan budayanya tersendiri. 

Beliau berkata projek dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan itu dicetuskan Tuanku Muhriz pada penghujung 2019, dengan Tunku Zain merupakan penasihat kehormat bagi pelaksanaan dan penghasilan projek lagu berkenaan.

“Melalui penghasilan album ini, kerajaan negeri berharap rakyat di negeri ini dan semua masyarakat dapat mengenali budaya, identiti serta kesenian Negeri Sembilan melalui lirik, susunan muzik dan keharmonian yang wujud melalui dendangan lagu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran.

Projek Lagu Identiti itu merupakan rakaman dan nyanyian semula sebuah lagu asal dan penghasilan lima lagu baharu yang menonjolkan identiti Negeri Sembilan di bawah seliaan komposer terkenal Fauzi Marzuki manakala penulis lirik oleh Hairul Anuar Harun, Ito, Lokman Ghani (Lokgha), Mulyazi dan Waris.

Enam lagu itu ialah Lambaian Negeri yang dinyanyikan semula oleh penyanyi Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, Orang Kito (Ito), Pepatah Pepitih (Ewal), Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri), Nogori (Waris) dan Moh Dogheh (Aishah).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan