GOPENG, 29 Jan -- Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) akan dianjurkan dua kali sebulan di 24 kawasan Parlimen di Perak.
Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri R. Magendran berkata sehingga kini sebanyak 61 PJKM telah dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini.
"Jumlah pengunjung yang menerima manfaat menerusi program ini ialah kira-kira 20,000 orang dengan secara keseluruhannya nilai jualan pula mencecah sehingga RM280,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Terus Dari Ladang dan PJKM yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Noorsham Ramly di hentian Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Sementara itu, Noorsham berkata PJKM yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam membabitkan seramai 72 usahawan dan 50 gerai jualan.
"Kita sasarkan nilai jualan kira-kira RM100,000 bagi tempoh tiga hari kerana tarikan di sini ialah pelbagai barangan yang dijual harganya lebih rendah berbanding di pasaran.
Seorang pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan berkata dia menjual telur pada program itu dengan harga yang berpatutan dan lebih rendah daripada harga pasaran.
"Sejak kebelakangan ini ramai pelanggan merungut harga telur agak mahal di pasaran selain pengeluaran juga kurang.
"Kami sebagai pemborong terpaksa mencatu panghantaran di kedai-kedai, hampir 30 peratus. Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera untuk kebaikan semua pihak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial