AM

Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

29/01/2022 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jan -- Langkah untuk tidak menaikkan tarif elektrik membabitkan lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini menunjukkan bahawa kerajaan meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan terkesan melihat rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 yang membawa kepada kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta bencana banjir baru-baru ini yang menjadi kesan tambahan kepada rakyat.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah tidak mudah memandangkan subsidi elektrik perlu diteruskan.

"Ini dilakukan bukan mudah kerana dengan keputusan itu kerajaan perlu meneruskan subsidi, bukan tidak naik bererti tiada kos kepada kerajaan, tidak.

"Apabila tidak naik ertinya kerajaan perlu ambil satu duit lain, dana lain untuk memberikan subsidi supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal sebagai satu penjana yang 'viable'. Jangan pula ia mengalami bankrap dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Che Roslan Che Daud.

Menurut Annuar, selepas TNB membuat pengesyoran untuk menaikkan tarif melibatkan pengguna domestik berikutan kenaikan harga bahan api, Kabinet telah mengadakan enam siri perbincangan yang membawa kepada keputusan pada Rabu lepas bahawa kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik.

"Kita kena tengok pelbagai sudut, pemegang saham, kedayahidupan TNB itu sendiri. Tetapi setelah berbincang panjang lebar, Jemaah Menteri di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tidak boleh dinaikkan tarif," kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Ismail Sabri semalam, mengenai kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

Ismail Sabri dipetik sebagai berkata subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta juga akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan