KUALA LUMPUR, 28 Jan -- Seramai 354,392 individu yang bekerja sendiri di negara ini telah berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat semalam.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata majoriti mereka ialah individu yang bekerja di sektor pengangkutan penumpang atau penghantar barangan dan makanan (e-hailing).
“Hampir 210,000 individu yang bekerja di sektor ini telah berdaftar di bawah skim itu, kira-kira 1,400 di sektor pertanian dan selebihnya di sektor yang lain,” katanya selepas Majlis Menandatangani Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perkeso dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, hari ini.
Mohammed Azman menandatangani dokumen itu bagi pihak Perkeso, manakala MADA diwakili Pengurus Besarnya Kamarudin Dahuli.
Sementara itu, Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam ucapannya berkata kerjasama itu merupakan titik permulaan bagi pihaknya, untuk memberikan perlindungan kepada golongan peladang, terutama mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan terdedah kepada pelbagai penyakit.
Katanya, seramai 266 peladang telah berdaftar dengan skim itu sejak beberapa bulan selepas MADA memberi penerangan mengenainya.
“Kita sasar pada 1 Feb ini jumlah mereka akan mencecah 1,000 orang dan kita yakin dalam tempoh setahun ini, kita boleh bergerak secara lebih agresif untuk memastikan kesemua 57,000 peladang di bawah MADA dapat mencarum dalam skim ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial