Oleh Rosmalis Anuar
KUALA LUMPUR, 28 Jan -- Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon hari ini berkunjung ke ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), di sini.
Beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Jamaluddin Muhammad dan kedua-dua pihak membincangkan isu yang melibatkan kepentingan bersama.
Vanu, seorang diplomat kanan, berkata suruhanjaya tinggi sentiasa bekerjasama rapat dengan media Malaysia, khususnya Bernama yang dianggap komponen sangat penting dalam infrastruktur media Malaysia.
Mengenai liputan media Malaysia berhubung isu berkaitan Singapura, beliau berkata secara amnya, laporan akhbar arus perdana berbahasa Inggeris dan Melayu itu adalah berdasarkan fakta.
“Mereka (media Malaysia) hanya melaporkan fakta dan kadangkala ada penganalisis memberikan pandangan berasingan mengenai isu. Itulah tugas media, melaporkan serta kadang-kadang memberikan analisis terhadap isu itu sendiri.
“Apabila kami mendapati analisis itu tidak selari dengan pemikiran kami, kadangkala kami akan menulis semula kepada organisasi media berkaitan untuk menerangkan kedudukan kami secara lebih jelas serta meminta ianya diterbitkan dalam siaran mereka, dan kami telah lakukannya beberapa kali,” katanya.
Diplomat veteran itu turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Malaysia, dengan harapan tahun harimau akan menjadi tahun yang baik untuk negara.
Kunjungan hormat ke Bernama hari ini merupakan lawatan kedua Vanu, selepas lawatan pertamanya sejak lebih empat tahun lalu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial